Budaya positif : Hargai orang lain dengan Interaksi Ajaib
TINGGINYA BUDI, INDAHNYA BAHASA.
Terlalu banyak kajian tentang motivasi dan perilaku berkenaan manusia, tapi apa sebenarnya hakikat manusia?. Manusia mampu mendengar dan menerima, input persekitaran itu akan menentukan bagaimana individu memberikan respon. Setiap individu memperoses apa yang diterima daripada persekitaraannya. Sama ada persekitarannya membantu atau sebaliknya akan mempengaruhi individu dalam tiga aspek iaitu, kognitif, afektif dan tingkah laku.
Seorang pelajar sekolah menengah yang sedang berada di dalam P&P. Guru yang sedang mengajar dihadapan menyoal pelajar berkenaan. Jawapan yang diberikan adalah salah. Guru memberikan respon 'Bodohlah awak ni, itu pun tak boleh jawab'. Bagaimana dengan hati pelajar tersebut? Apa kesannya dengan pemikiran pelajar tersebut dan bagaimana kesan kepada prestasinya. Apalah salahnya guru tersebut memilih untuk menggunakan kata-kata yang lebih positif, seperti 'Sila cuba lagi, siapa tahu awak boleh memberikan jawapan yang lain'. kemungkinan besar pelajar tersebut akan lebih bermotivasi untuk belajar dan menghormati guru.
Mungkin kisah anda berbeza, namun kesannya adalah sama. Ia mempengaruhi diri kita, pemikiran kita, perasaan kita dan respon kita.
Apa yang saya tekankan disini adalah budaya mesra dan menjaga pertuturan, hormati orang lain, jangan riak kepada pangkat yang dimiliki, sama ada dari segi interaksi seperti senyuman dan kata-kata dan juga tingkah laku. Bayangkan anda bertemu dengan rakan sekelas anda, tetapi rakan itu langsung tidak memberikan riak wajah positif kepada anda, malahan menunjukkan riak kurang senang. Saya yakin, anda akan kurang selesa dengan rakan tersebut. Emosi anda terganggu.Perhatikan pula tingkah laku anda selepas itu. Bandingkan pula jika anda bertemu dengan rakan yang memberikan salam atau paling tidakpun menghulurkan senyuman kepada anda, pemikiran dan emosi anda juga akan dipengaruhi oleh perlakuan rakan anda, perhatikan tingkah laku anda selepas itu. Anda cenderung untuk membalas senyuman kepadanya bukan. Persekitaran kita adalah penting, ia akan membentuk bagaimana kita memberikan respon.
Sekiranya sekarang ini, anda sedang bersama dengan teman anda, sila berhenti sebentar. Panggillah nama rakan di sebelah anda, dan katakan 'saya gembira awak adalah rakan saya'. Perhatikan responnya. Tiada seorang pun manusia di dunia ini yang tidak inginkan dirinya dihargai. Ucapan positif sebegini sama adalah tanda kita menghargainya. Maka ucapkanlah dengan ikhlas.
Bagaimana memupuk cara individu berkata-kata seperti ini, bak kata 'melentur buluh biarlah dari rebungnya', kanak-kanak harus dididik dengan cara yang positif, sama ada oleh ibu bapa atau guru. Bagaimana untuk melaksanakannya, ianya bermula dari minda, berfikiran positif adalah langkah pertama untuk berkelakuan positif, dan berkata-kata dengan positif.
Bagaimana keadaan individu yang mendengar kata-kata negatif, seperti 'saya benci awak' dan 'awak tak berguna'. Manusia adalah makhluk yang sensitif. Bagaimana untuk menularkan bahasa interaksi positif ini? Apa kata anda mulakan dahulu, murah dengan senyuman, mesra menegur orang dan mudah memberikan ucapan selamat, terima kasih ataupun meminta maaf. Ia adalah antara perkataan ajaib. Anda tidak percaya, anda cuba sendiri. Interaksi ini mampu menghasilkan modal insan yang lebih baik.
Lihat ini,
Tubuh badan manusia mengandungi 75% kandungan air, bagaimana bentuk air dalam badan anda jika anda mendengar kata-kata kesat dan kasar. Molekul air memberikan respon kepada kata-kata, apatah lagi kita sebagai manusia yang diberikan hati untuk merasa. Yang tingginya budi, yang indahnya bahasa, bahasa itu lambang kekayaan, budi mencerminkan keperibadian.
Saya umpamakan individu sebagai belon dan kata-kata negatif itu adalah jarum. Anda pasti dapat bayangkan, apa akan berlaku jika jarum dicucuk pada belon. Begitu juga dengan hati manusia. Kita mempunyai potensi, jangan mematikan pemikiran positif dengan kata-kata negatif. Berbudi bahasalah. Berbudi bahasa tidak akan terbalas dan bukan untuk dibalas. Jika orang lain kurang berbudi bahasa, ANDA PATUT MULAKAN DAHULU. Ia akan menjadi Bakteria Baik dalam masyarakat. Jangan biarkan persekitaran mengawal kita, kawallah persekitaran anda.
Kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni telah dilancarkan pada tahun 2005, walaupun ianya bukan diistilahkan sebagai akhlak mulia, tetapi ia mempunyai maksud yang sama dan termasuk dalam kepentingan mencapai matlamat wawasan 2020.
Katakanlah yang baik-baik, dalam agama kita ditekankan untuk menjaga hati dan pertuturan. Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang diperkatakan secara terus terang. Dia maha mengetahui dan mendengar. (Surah An-nisa -ayat 148). Mahukah kita tidak disayangi tuhan?
Semoga anda mendapat kata-kata yang baik kerana kata-kata adalah doa. Berinteraksilah secara positif dan berbudi.
0 dia berbicara:
Post a Comment